Sunday, 11 December 2011

pengertian

PENJELASAN TAYAMMUM
A. Erti Tayammum
Tayammum dari segi bahasa ialah qasad (mensahajakan).
Tayammum ialah suatu kemudahan yang diberikan oleh Allah
S.W.T. kepada umat Islam untuk dilakukan semasa menghadapi
keadaan yang menghalang daripada berwudu’ atau mandi wajib
disebabkan ketiadaan air atau kerana sakit bagi mengharuskan
melakukan ibadah.
Tayammum pada syara’ ialah menyapu muka dan kedua belah
tangan meliputi siku dengan debu tanah yang bersih mengikut
syarat-syarat yang tertentu. Ia difardukan sebagai ganti wudu’ atau
mandi wajib .

B. Dalil Perintah Tayammum
Kemudahan tayammum menunjukkan bahawa sembahyang lima
waktu sehari semalam wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam
sekalipun mereka sedang sakit atau dalam ketiadaan air untuk
bersuci dari hadas kecil atau hadas besar.
Maksud Hadis :
Dari Huzaifah r.a, katanya : Rasulullah s.a.w
bersabda: …..dan (di antara keistimewaan yang
diberikan Allah Taala kepada kami ialah) dijadikan
bumi ini seluruhnya sebagai tempat sembahyang
untuk kami, dan tanahnya pula dijadikan untuk
kami sebagai alat untuk bersuci apabila kami tidak
mendapat air.
( Riwayat Muslim )
Hadis ini menyatakan sebahagian dari keistimewaan dan kemudahan beribadat
yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.
dan umatnya berbanding dengan nabi-nabi terdahulu dan umat mereka masing-masing.

C. Sebab-sebab Diharuskan Bertayammum
i. Apabila tiada air atau ada air tetapi hanya mencukupi untuk
keperluan makan minum.
ii. Tidak dapat menggunakan air disebabkan penyakit yang
dihidapi atau merbahaya bila dikenakan air.
iii. Apabila penggunaan air boleh membahayakan kesihatan
dan nyawa.

D. Hikmah Bertayammum
Memberi kemudahan dalam mengerjakan ibadah ketika tidak dapat
menggunakan air atau ketiadaan air.